Cheah Liek Hou menepati sasaran apabila menjadi pemenang pertama pingat emas negara menerusi badminton selepas mengatasi wakil Indonesia, Dheva Anrimushti, dalam final Sukan Paralimpik Tokyo 2020, sebentar tadi.

Liek Hou bertemu pilihan utama kejohanan yang juga pemain nombor satu dunia, Dheva Anrimushti, dalam final kategori SU5.

Dalam misi melangkah ke final, juara dunia enam kali itu dipaksa mengerah keringat dalam pertemuan dengan pemain nombor dua dunia, Fang Jen Yu, dari Taiwan pada sebelah pagi tadi sebelum menamatkan pertarungan selama 51 minit itu 15-21, 21-10, 21-16.

Pertarungan sengit dalam separuh akhir tidak menjejaskan permainan Liek Hou apabila cemerlang dalam setiap pergerakan mengutip mata demi mata sebelum merakamkan kemenangan 21-17.

Dalam set kedua, suasana pertembungan antara dua barisan terbaik bagi kategori SU5 itu rancak apabila masing-masing saling mempamerkan permainan berkualiti sehingga kedudukan terikat 14-14. Liek Hou berjaya mengekalkan konsisten hingga tamat perlawanan sekaligus merakamkan kemenangan 21-15 dan memastikan pingat emas yang kedua buat kontinjen negara.