Atlet lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly, menepati ramalan selepas berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi lima tahun lalu dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020, sebentar tadi.

Stadium Olimpik Tokyo sekali lagi menyaksikan detik manis buat peminat sukan tanahair, penyandang juara lompat jauh kategori T20, Latif, berjaya memastikan pingat emas yang ketiga buat kontinjen negara susulan kejayaan Cheah Liek Hou (badminton SU5) dan Bonnie Bunyau Gustin (Paralifting) meraih pingat emas sebelum ini.

Bermula dengan lompatan pertama, Latif meletakkan dirinya di tempat pertama dengan catatan 7.26 meter sekaligus bertindak selaku pendahulu saingan.

Dia terus menjarakkan kedudukan dengan peserta lain selepas memperbaiki jarak lompatan dengan melakukan catatan 7.45m.

Dalam usaha mengejar rekod dunia 7.64m miliknya, Latif berdepan kecederaan pada lompatan kelima sekaligus terpaksa menunggu kepada catatan pesaingnya bagi lompatan terakhir.

Bagaimanapun, pencabar dari Greece, Athanasios Prodromou dan Australia, Nicholas Hum gagal mengatasi catatan Latif sekaligus menyaksikan Malaysia mempertahankan pingat emas dalam acara tersebut.