Berakhirnya saingan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 menyaksikan kontinjen Malaysia menamatkan saingan dengan pencapaian terbaik sepanjang penyertaan dalam saingan tersebut.

Malaysia membawa pulang tiga emas dan dua perak menerusi sukan powerlifting, badminton, boccia dan lompat jauh sekali gus memperbaiki pencapaian di Rio 2016.

Lima tahun lalu di Rio, kontinjen negara membawa pulang tiga emas dan satu gangsa, menerusi sukan olahraga disertai Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Siti Noor Radiah Ismail.

Kontinjen negara sepatutnya mampu memperoleh empat emas namun kemenangan Ziyad dalam acara lontar peluru lelaki F20 dibatalkan susulan terdapat bantahan daripada kem Ukraine yang mendakwa jaguh negara itu lewat tiba di bilik menunggu.

"Kami gembira dengan kejayaan tiga emas, cumanya kami telah menjangkakan lebih banyak pingat.

"Namun kami tetap bersyukur dan atlet juga sudah bekerja keras.

"Jangkaan diletakkan kepada Wong Kar Gee (lompat jauh T13) boleh membawa pulang pingat perak atau gangsa tetapi mengalami kecederaan. Cikgu Didin (Didin Teresoh yang menyertai sukan badminton para) juga begitu tetapi menghadapi kecederaan.

"Saya fikir ini pencapaian terbaik kerana kami banyak kekangan di sini disebabkan COVID-19. Temasya juga tertangguh setahun, prestasi atlet juga turun naik disebabkannya," kata Megat pada sidang media secara maya mengenai prestasi kontinjen negara pada hari terakhir temasya hari ini.

Pencapaian Malaysia di Paralimpik dari Sukan Olimpik 2012 hingga 2020

London 2012: 1 Perak, 1 Gangsa

Perak - Hasihin Sanawi (memanah perseorangan recurve W1/W2)

Gangsa - Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru lelaki F20)

Rio 2016: 3 Emas, 1 Gangsa

Emas - Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m lelaki T36)

Emas - Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru lelaki F20)

Emas - Abdul Latif Romly (lompat jauh lelaki T20)

Gangsa - Siti Noor Radiah Ismail (lompat jauh wanita T20)

Tokyo 2020: 3 Emas, 2 Perak

Emas - Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting 72kg lelaki)

Emas - Cheah Liek Hou (badminton perseorangan lelaki SU5)

Emas - Abdul Latif Romly (lompat jauh lelaki T20)

Perak - Jong Yee Khie (powerlifting 107kg)

Perak - Chew Wei Lun (boccia perseorangan)