Palermo terhumban ke Serie C berikutan penyelewengan kewangan dan perkara itu disahkan Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC).

Palermo meraih tempat ketiga Serie B dan sudah bersedia untuk mengambil bahagian dalam perlawanan play-off untuk layak ke Serie A, namun hasrat itu sebaliknya terpadam selepas Mahkamah Kebangsaan FIGC membuat keputusan tersebut.

Kelab Sicily itu dihukum atas "beberapa penyelewengan pengurusan oleh beberapa bekas pengarah."

Palermo tergelincir daripada Serie A pada musim 2017 dan gagal kembali menerusi aksi play-off selepas menamatkan musim pertama mereka dalam divisyen kedua itu di tempat keempat.

Kelab berkenaan dijangka akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu setelah usaha untuk mengambil alih kelab itu sejak beberapa tahun lalu menemui jalan buntu.

Perugia akan mengambil tempat Palermo untuk peluang dipromosikan ke saingan utama sementara Venezia sah kekal dalam saingan Serie B sementara Foggia dan Salernitana pula akan berjuang dalam perlawanan play-off untuk kekal.