Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, mengakui kecederaan yang menimpa Dickson Nwakaeme pada minit ke-20 membuatkan pemainnya menjadi terlalu berhati-hati ketika menewaskan Perak 3-1 dalam separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam.

Kehilangan pemain itu memberikan kesan apabila pemain Tok Gajah mula berhati-hati berdepan barisan kendalian Mehmet Durakovic itu.

Situasi itu mendorong penguasaan sementara The Bos Gaurus yang akhirnya memberikan jaringan tunggal Perak menerusi J. Parthiban dalam babak kedua.

"Selepas kehilangan Dickson, kami nampak bermain berhati-hati dalam babak kedua.

"Apabila kami behati-hati, Perak mengambil kesempatan dan kami menerima padah selepas mereka menjaringkan gol," katanya.

Kecederaan ayam tambatan itu, bagaimanapun, dikhabarkan tidak begitu serius dan ia memberikan kelegaan buat Dollah, yang mengharapkan penampilan pemain kelahiran Lagos, Nigeria itu dalam aksi timbal balik di Ipoh, minggu depan.

Tegasnya, kemenangan 3-1 itu belum cukup selesa buat Pahang dan aksi 90 minit di Ipoh boleh bertukar tragedi andai mereka mengambil mudah lawan berkenaan.

"Kami perlu ingat bahawa bermain di Perak bukan senang dan sudah pasti kami perlu lebih bersedia.

"Andai kami leka, Perak sudah pasti akan menyerang habis-habisan," tambahnya.