Chris Gunter digambarkan sebagai pemain "Impian bagi setiap pengurus" oleh pengendali sementara Wales, Robert Page, menjelang penampilan antarabangsa ke-100 pertahanan sayap itu.

Pertahanan Charlton Athletic, Gunter, akan mencipta sejarah apabila Wales berdepan Mexico di Stadium Cardiff City awal pagi esok.

Dia merupakan pemain Wales pertama melakukan penampilan sebanyak itu dan berkelebihan enam penampilan berbanding penjaga gol, Wayne Hennessey, yang berada di tangga kedua senarai pemain dengan penampilan terbanyak bersama Wales di depan Neville Southall (92) dan Gareth Bale (87).

Pemain berusia 31 tahun itu mula melakukan penampilan pertamanya pada 2007 dan Page, yang mengambil alih tugas Ryan Giggs selepas pengurus sebenar itu digantung, memberikan pujian menggunung buat Gunter.

"Saya sentiasa katakan bahawa setiap kali saya bekerja dengannya, saya semakin kagum dengannya.

"Dia contoh seorang profesional, dia impian setiap jurulatih. Dia mendapat pulangan daripada usahanya, dia berlatih sepertimana dia bermain dan dia layak mendapatkan penampilan ke-100 dan seluruh pujian buatnya untuk mencapai tahap ini.

"Orang yang bagus dalam sukan ini, anda sentiasa mahu melihat mereka melakukannya dengan baik dan dia adalah salah seorang daripadanya," katanya.

Wales tewas kepada Belgium dalam perlawanan pembukaan pusingan kelayakan Piala Dunia, Rabu lalu dan akan berdepan Republik Czech, Selasa ini.

Ditanya sama ada dia ada melakukan perbincangan dengan Giggs, Page berkata: "Sudah pasti saya ada berbincang dengan Ryan.

"Dia gembira dengan aksi kami dalam babak kedua. Kami melakukan pertukaran dalam babak kedua untuk lebih positif ketika memberikan tekanan, naik sedikit ke atas dan kami tidak mahu hanya berkampung di kawasan kami dan membenarkan serangan demi serangan dan dia bersetuju dengannya.

"Terdapat aspek yang di gembira mengenainya dan ada beberapa perkara yang kami boleh perbaiki tetapi secara keseluruhan, dia gembira," katanya lagi.