PADERBORN 0 BAYERN MUNICH 6

Bayern Munich membuktikan keunggulannya berada di kelas tersendiri apabila membelasah Paderborn 6-0 dalam saingan suku akhir Piala Jerman di Benteler Arena, awal pagi tadi.


Skuad bimbingan Jupp Heynckes itu hampir mengejutkan tuan rumah ketika aksi berusia dua minit, namun tandukan James Rodriguez ditampan keluar oleh penjaga gol Paderborn, Michael Ratajczak.

Bagaimanapun, gawang tuan rumah akhirnya bocor pada minit ke-19 apabila Kingsley Coman tenang menolak bola masuk dari jarak dekat sebelum hantaran pemain sayap Perancis itu membolehkan Robert Lewandowski menambah gol kedua, enam minit kemudian.

Joshua Kimmich menjadikan kedudukan 3-0 sebelum tamat babak pertama selepas menerima hantaran jauh pemain pertahanan, Mats Hummels.

Bersambung separuh masa kedua, giliran Corentin Tolisso untuk meletakkan nama dalam senarai penjaring pada minit ke-55 menerusi tandukan hasil sepakan sudut Rodriguez dari sebelah kiri.

Walaupun tuan rumah cuba melakukan asakan, kekebalan benteng pelawat tetap utuh bertahan dan Arjen Robben menambah keperitan yang ditanggung anak-anak buah Steffen Baumgart itu menerusi dua lagi gol pada minit ke-86 dan 88 untuk memastikan Bayern melangkah ke separuh akhir Piala Jerman bagi musim ini.