Penyerang Kelantan, Mohd Norfarhan Muhamad, mengakui sudah bersedia sepenuhnya diturunkan dalam saingan menarik The Red Warriors (TRW) menentang Felda United FC di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam ini.

“Saya sudah pulih sepenuhnya daripada sebarang masalah kecederaan dan bersedia untuk diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama atau gantian ketika menentang Felda United.

“Saya harap kerja keras dalam sesi latihan dan perlawanan persahabatan menentang Hanelang FC minggu lalu mampu pikat ketua jurulatih, Zahasmi Ismail, untuk mengekalkan saya dalam kesebelasan utama,” katanya.

Mohd Norfarhan atau lebih dikenali sebagai Pa'an, 33, berharap dua jaringan yang dihasilkannya dalam aksi persahabatan menentang kelab dari Terengganu itu akan menyuntik semangatnya memburu jaringan pertama musim ini dalam saingan Liga Super.

“Biarpun sekadar perlawanan persahabatan, dua jaringan itu membuat saya lebih yakin untuk mencari semula sentuhan penyudah dalam Liga Super setelah hampir setahun berehat akibat kecederaan."

Norfarhan juga gembira dengan semangat yang ditunjukkan oleh rakan sepasukannya dalam sesi latihan dan berharap TRW dapat mengutip mata bertemu The Fighters.

“Biarpun sedikit kecewa dengan penundaan perlawanan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) minggu lalu, namun moral pemain tidak terjejas, malah yakin mampu beraksi lebih baik untuk mencari mata di Jengka.

“Ketua jurulatih (Zahasmi) sudah menyusun strategi permainan untuk menjerat Felda United dan biarpun ini aksi kedua TRW dalam Liga Super selepas menang dengan PKNS FC, kami yakin mampu mengharungi aksi 90 minit dengan semangat melawan."