Mesut Ozil perlu memberi penjelasan kepada penyokong Jerman selepas dia bertemu dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, kata presiden Persatuan Bolasepak Jerman (DFB), Reinhard Grindel.

Ozil dan rakan senegara, Ilkay Gundogan, telah bergambar dengan Erdogan sehari sebelum skuad Joachim Low itu diumumkan dan dia sering kali dicemuh oleh penyokong Jerman ketika turun beraksi.

Kedua-dua pemain memiliki darah Turki dan pemain tengah Manchester City, Gundogan, menjelaskan pertemuan itu tidak mempunyai sebarang perkara yang melibatkan politik.

Tetapi Ozil belum bercakap secara umum dan pengurus pasukan, Oliver Bierhoff, mencadangkan bintang Arsenal itu seharusnya diketepikan daripada skuad Piala Dunia.

Grindel mendedahkan perkara itu masih belum diselesaikan oleh DFB, dengan badan induk itu meminta Ozil untuk melakukan kenyataan rasmi terhadap isu ini, sama seperti apa yang telah dilakukan oleh Gundogan.

"Benar Ozil masih belum berkata apa-apa, ia amat mengecewakan ramai penyokong kerana mereka mempunyai soalan yang perlu dijawab," kata Grindel.

"Jadi, DFB mahu Ozil membuat kenyataan rasmi bagi menyelesaikan isu ini.

"Kami juga akan tunggu dan lihat bagaimana Ozil bertindak. Kami mahu bersikap adil dan memberikan ruang kepadanya," ujarnya.

Low, yang dijangka kekal sebagai jurulatih Jerman selepas mereka tersingkir di peringkat kumpulan di Russia, dengan Grindel berkata masa depan Ozil terletak di tangan jurulatih pasukan.

"Segala-galanya terletak atas penilaian jurulatih."