BARCELONA 2 JUVENTUS 2

Xavi menaruh kepercayaan kepada Ousmane Dembele dan Miralem Pjanic yang kini tampil berbeza bagi untuk memainkan peranan penting untuk pasukannya selepas Barcelona seri 2-2 dengan Juventus di Stadium Cotton Bowl, sebentar tadi.


Pjanic membuat penampilan pertama yang mantap dalam siri pra-musim di Amerika Syarikat sementara Dembele menyumbangkan dua gol dalam perlawanan persahabatan itu, sekali gus mencerminkan keyakinannya sejak Xavi mengambil alih jawatan pengurus Barcelona, November lalu.

Pemain berusia 25 tahun itu menonjolkan permainan solo yang sangat mengagumkan apabila tangkas menggelecek tiga pertahanan Juve sebelum merobek gawang lawan.

Selepas perlawanan, pengurus Barca itu menuntut aksi lebih tekal daripada tonggak antarabangsa Perancis tersebut sambil percaya ia didorong oleh semangatnya yang baru menyambung kontrak.

"Dia telah membuktikan keupayaannya, membuat perbezaan dari sayap kanan dengan aksi satu lawan dua," kata Xavi selepas itu.

“Dia pemain yang berbeza, istimewa dan dia banyak menyumbang.

"Dia perlu membuat perubahan, lebih tekal, menjaringkan lebih banyak gol. Sebelum ini saya tidak mengenali Dembele tetapi sejak saya tiba, saya lihat dia gembira dan dia sentiasa memberitahu saya bahawa dia mahu terlibat dalam projek ini. Saya melihatnya seperti itu sejak November lalu, itulah sebabnya saya bertegas untuk mengekalkannya."


Pengurus berusia 42 tahun itu turut menjelaskan dia meminati sentuhan pemain tengah Barcelona , ​​Miralem Pjanic, yang membuat penampilan pertamanya untuk kelab terbabit sejurus kembali daripada tempoh pinjaman di Besiktas.

Apabila ditanya penilaiannya mengenai prestasi anak buahnya itu, Xavi berkata: "Saya sangat menggemarinya.

"Dia memberi kami pilihan dengan bola, dia mencari ruang dengan sangat baik. Dia mempunyai visi eksklusif bola sepak secara umum kerana tidak ramai yang melihat permainan seperti itu dengan sentuhan pertama mereka.

"Dia sentiasa melihat ke hadapan, cukup bagus untuk hantaran ke pemain berperanan nombor sembilan. Dia telah beraksi dengan hebat."