Pep Guardiola menikmati prestasi mengagumkan anak buahnya selepas mengesahkan tempat ke pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) dengan menumbangkan Paris Saint-Germain (PSG) 2-1.

Manchester City menduduki tempat teratas Kumpulan A hasil kemenangan itu, awal pagi tadi, untuk menjadi kelab Inggeris kedua yang memenangi peringkat kumpulan dalam lima musim berturut-turut.

Namun, mereka menempuh laluan berliku apabila ketinggalan dengan sentuhan pemusnah Kylian Mbappe lima minit selepas separuh masa kedua sebelum gol Raheem Sterling dan Gabriel Jesus memastikan kebangkitan tuan rumah.

“Kami bermain dengan sangat baik dan cara kami beraksi sangat bagus,” kata pengurus itu dalam sidang akhbar.

"Peminat seronok menonton aksi kami dan kami seronok bermain. Semoga kami dapat mengekalkan prestasi seperti ini selama mungkin."





Tuan rumah menang walaupun turun tanpa Kevin De Bruyne, Jack Grealish dan Phil Foden sambil memberikan Oleksandr Zinchenko permulaan ketiganya musim ini dan pertama kali diketengahkan City untuk peranan di bahagian tengah, di mana dia biasanya bermain untuk Ukraine.

Ia satu langkah berjaya buat Guardiola yang turut memuji pasukannya kerana dapat mengekang Mbappe, Neymar dan Lionel Messi.

"PSG -– (yang merupakan) sebuah pasukan mantap, (diwakili) pemain handalan, apa yang boleh saya katakan?" katanya lagi.

"Kami cuba menjauhkan pemain ini dari gawang kami. Apabila mereka menghampiri pintu gol anda, mereka boleh melakukan apa sahaja.

“Kecuali lima minit selepas kami bolos yang menyaksikan mereka cuba mengatur serangan balas tetapi tidak dapat menemui penyudah, kami telah memperagakan satu persembahan yang sangat terbaik.

"Kami gembira untuk berada di peringkat seterusnya. Tahniah kepada semua pihak di dalam kelab ini. Sudah bertahun-tahun mereka bersama.

“Sekarang kami akan fokus kepada Liga Perdana Inggeris dan cuba tiba pada Februari depan dengan keadaan terbaik untuk ke suku akhir.”