BENFICA 1 AJAX 1

Penjaga gol Ajax, Andre Onana, mengakui melakukan kesilapan besar dalam perlawanan yang menyaksikan pasukannya itu terikat 1-1 dengan Benfica dalam aksi Kumpulan E, Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.


Onana membantu jaringan pembukaan Benfica selepas dia melakukan pusingan ala "Cryuff" yang jelas menimbulkan kemarahan barisan pertahanan sebelum dia gagal mengeluarkan lemparan ke dalam yang kemudian disudahkan Jonas pada minit ke-29.

Bagaimanapun, Dusan Tadic kembali mengikat kedudukan sejam selepas itu dengan Onana menebus kesilapannya menerusi dua aksi penyelamatan menakjubkan yang menghalang jaringan Rafa Silva dan Gabriel.

Onana, bagaimanapun, menegaskan skuad kendalian Eric ten Hag itu sentiasa yakin untuk bangkit.

"Saya melakukan kesilapan yang besar.

"Saya membuat pilihan yang salah sebanyak dua kali dan mereka menjaringkan gol," katanya kepada UEFA.com.

"Sebagai seorang penjaga gol, saya perlu sentiasa kuat dan memandang ke depan.

"Walaupun ia bukanlah aksi terbaik kami, namun saya rasakan kami lebih baik daripada Benfica.

"Kami tetap yakin kerana kami mempunyai penyerang yang hebat dan mampu menjaringkan gol," tambahnya.

Pertahanan Ajax, Matthijs de Ligt, menolak sentimen yang diluahkan Onana dengan menyatakan pasukannya itu tidak pernah hilang kepercayaan terhadap penjaga gol mereka.

"Kami tidak memberikan Onana waktu sukar ketika rehat separuh masa.

"Kami sentiasa bersama sebagai satu pasukan dan sentiasa menyokong antara satu sama lain.

"Dia melakukan penyelamatan yang baik sewaktu peringkat kelayakan dan kumpulan.

"Benfica memperoleh peluang di penghujung perlawanan dan Onana berjaya menyelamatkannya.

"Kami perlu memperbaiki kelemahan dan terus berjuang.

"Kami perlu memenangi perlawanan seterusnya dan berharap dapat meneruskan kemaraan," ujarnya.

Ajax akan layak ke pusingan 16 jika menewaskan AEK Athens sambil Benfica tewas kepada pendahulu kumpulan, Bayern Munich, dalam perlawanan seterusnya.