KUALA LUMPUR 3 MELAKA 4

Jaringan daripada Ifedayo Olusegun membolehkan Melaka memadam kebangkitan Kuala Lumpur untuk menang 4-3 dalam aksi Liga Super di Stadium KLFA, Cheras, sebentar tadi.


Beraksi di tempat lawan, Melaka terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi penyerang import dari Belarus, Yahor Zubovich, ketika aksi baru berusia enam minit.

Skuad kendalian E. Elavarasan terus melebarkan pendahuluan menerusi jaringan kedua, kali ini giliran Syahrul Azwari Ibrahim meletakkan nama dalam senarai penjaring pada minit ke-23, sebelum penggempur dari Nigeria, Olusegun, menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-34.

Paulo Josue mengurangkan jurang gol buat tuan rumah ketika babak pertama berbaki dua minit untuk menamatkan 45 pertama dengan kedudukan 3-1.

Bersambung separuh masa kedua, Guilherme de Paula hanya memerlukan tiga minit untuk terus menambah gol buat skuad bimbingan Fabio Maciel dan peledak dari Brazil itu mencipta sensasi di laman sendiri apabila mengikat kedudukan 3-3 menerusi jaringan pada minit ke-71, kali ini hasil daripada sepakan penalti.

Bagaimanapun, kedudukan itu hanya terikat selama lima minit apabila Olusegun menambah gol kedua peribadi untuk menjadikan kedudukan 4-3 sehingga wisel penamat dibunyikan, sekaligus membolehkan Melaka meneruskan kecemerlangan susulan kejayaan mengatasi Kedah 2-0 dalam aksi sebelum ini.


Kredit foto: Facebook Melaka United Soccer Association - MUSA