Olivier Giroud lega untuk kembali menemui sentuhan pemusnah ketika Milan berjuang untuk mengalahkan Hellas Verona 3-2 di San Siro, awal pagi tadi.

Rossoneri kelihatan menuju kekalahan pertama dalam 30 pertemuan Serie A dengan Verona di laman sendiri selepas Gianluca Caprari dan Antonin Barak meletakkan pelawat 2-0 sebelum rehat separuh masa pertama.

Giroud kemudian menanduk masuk jaringan selepas sejam permainan untuk mencetuskan kebangkitan Milan yang menyaksikan Franck Kessie menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti sebelum jaringan sendiri Koray Gunter.

Keputusan itu meletakkan pasukan bimbingan Stefano Pioli tersebut mengungguli tangga teratas di depan Napoli.

Selepas menghasilkan gol ketiga dalam dua perlawanan pertama Serie A itu, Giroud mengulangi prestasi yang pernah dirakamkan oleh Oliver Bierhoff, Alexandre Pato, Mario Balotelli dan Carlos Bacca sejak 1994-95.

Bekas penyerang Arsenal dan Chelsea itu yang terlepas empat daripada lima perlawanan terdahulu mengakui rindu mahu melakar nama dalam senarai penjaring.





"Saya telah menunggu lama untuk saat ini. Saya terlepas perlawanan," katanya -- yang kali terakhir menjaringkan gol kemenangan ialah ketika menghadapi Cagliari, Ogos lalu, kepada DAZN.

"Dalam babak pertama, kami tidak beraksi dengan baik tetapi reaksi itu penting. Saya belum berasakan sudah di tahap 100 peratus tetapi saya semakin meningkat dan saya berasa lebih bebas.

"Kemenangan ini adalah satu kegembiraan. Saya tidak sabar untuk meraikannya dengan rakan sepasukan. Dalam separuh masa pertama, terdapat kekurangan dan kualiti. Kami dapat melakukan yang lebih baik dalam babak kedua dan itulah yang kami berjaya laksanakan."