Apa yang berlaku dalam kem Manchester United awal pagi tadi bukan sesuatu yang baru bagi tempoh empat atau lima tahun terakhir.

Harapan menyala, diserikan dengan beberapa kehadiran nama pemain yang diinginkan tetapi hakikatnya, ia bukan jaminan untuk menutup kelemahan yang terserlah sejak bertahun lamanya.

Tunduk lesu 2-1 di minit terakhir permainan dalam aksi di Stadium Wankdorf, Switzerland semestinya pahit untuk ditelan, apatah lagi jaringan kedua lawan diraih hasil ‘bantuan’ pemain The Red Devils, Jesse Lingard.

Biarpun dilimpahkan dengan jaringan awal hasil tolakan mudah Cristiano Ronaldo di depan gawang, aksi awal pagi tadi sekali lagi menjadi bukti bahawa bahagian tengah United sentiasa menjadi pertaruhan paling besar terutama apabila turun menentang lawan yang disuntik semangat penyokong sendiri.

Donny van De Beek digandingkan bersama Fred selaku pemain tengah bertahan dan ia seolah-olah memberi ruang percuma untuk anak buah David Wagner lebih kerap menguasai permainan, sehingga membenarkan United hanya memegang bola kurang daripada 40 peratus permainan dalam babak pertama.




Begitu juga dengan kad merah yang dilayangkan terhadap Aaron Wan-Bissaka ketika babak pertama berbaki 10 minit. Kemasukan Diogo Dalot jelas tidak mampu menawarkan sebarang peningkatan dan bantuan ketara tetapi persoalan yang mungkin masih bermain dalam kepala, apakah alasan rasional untuk menjelaskan keperluan Wan-Bissaka melakukan terjahan sebegitu? Sejujurnya, tidak perlu.






Membawa keluar Ronaldo dan Bruno Fernandes sambil membawa masuk Lingard serta Nemanja Matic secara jelas menggambarkan apa yang difikirkan Ole Gunnar Solskjaer terhadap keputusan yang diinginkan di Bern. Namun, apa pula reaksi Solskjaer dan pembantu, Michael Carrick, apabila menawarkan waktu permainan buat Anthony Martial.

Lingard pasti mahu melupakan aksi ini - atau mungkin kewujudannya di dalam skuad bakal dilupakan - memandangkan 18 minit tempoh beraksi, dia hanya menyentuh bola sebanyak 8 kali. Jangan lupa, sentuhan terakhirnya membawa kepada gol kemenangan lawan.

Laman sosial menyaksikan kempen #OleOut kembali dilaungkan. Sejauh mana Solskjaer bertahan, mungkin lebih lama berbanding kempen itu sendiri disorakkan.