Atlet senior negara, Lee Hup Wei, menepati ramalan untuk bergelar juara acara lompat tinggi dalam Kejohanan Terbuka Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF) di Bukit Jalil hari ini.

Bagaimanapun, pemenang pingat emas empat edisi Sukan SEA itu mengakui dia kini sudah menyedari kesilapan yang dilakukannya dalam Sukan Olimpik Tokyo pada Julai lalu -- menamatkan saingan tanpa sebarang catatan -- setelah mencatatkan lompatan setinggi 2.10 meter untuk bergelar juara.

"Sejak Sukan Olimpik lalu, ini adalah kali pertama saya menggunakan teknik larian penuh dan sekarang barulah saya sedar kesilapan saya sewaktu temasya itu.

"Sewaktu ketinggian 2 meter dan 2.10 meter, lompatan saya agak baik tetapi pada ketinggian 2.15, larian saya sudah tidak konsisten.

"Saya perlu melakukan larian yang konsisten tetapi tidak dapat mengawal tubuh saya," katanya.