Martin Odegaard mempunyai perwatakan dan kecerdasan untuk menjadi pemimpin sejati di Arsenal, menurut pengurus, Mikel Arteta.

Pemain berusia 22 tahun itu telah membuat empat penampilan bersama The Gunners selepas bergelut untuk mengukuhkan kedudukan utamanya di Real Madrid sebelum dipinjamkan dalam jendela perpindahan bulan lalu.

Dia mencuri perhatian ramai ketika seri 1-1 melawan Benfica dalam Liga Europa, kelmarin apabila menjadi antara pemain yang menciptakan peluang berharga terbanyak (dua), setanding dengan Hector Bellerin.

Odegaard mendahului senarai rakan sepasukan apabila mencipta hantaran terbanyak (29) di kawasan lawan dan mematahkan tiga gerakan Benfica, dua aspek berlainan yang dipamerkan pemain antarabangsa Norway itu.

Arteta kagum dengan apa yang dilihatnya setakat ini sambil menyokong pemain pinjaman itu agar terus meningkat persembahannya dalam beberapa minggu akan datang.

"Di atas lapangan, dia menunjukkan perwatakan tinggi dan kelicikannya -- elemen yang harus dimiliki oleh setiap pemimpin," kata pengurus berbangsa Sepanyol itu.

"Dia berada di sini dalam masa yang sangat singkat tetapi segera dapat menyesuaikan diri.

"Dia semakin dihormati dalam kalangan pemain dan kakitangan. Saya rasa dia akan menggalas beban pasukan yang semakin tinggi dari minggu ke minggu."



Odegaard, yang sempat menghabiskan tempoh pinjaman bersama Heerenveen, Vitesse dan Real Sociedad, dijadual akan kembali ke Madrid pada akhir kempen ini.

Sudah ada perbincangan mengenai usaha Arsenal untuk menandatangani bekas pemain Stromsgodset itu secara kekal, tetapi Arteta belum pasti sama ada Madrid akan bersetuju dengan tawaran mereka.

"Kami cuma mendapatkan khidmatnya untuk beberapa bulan. Kami harus memanfaatkan waktu ini dengan mengeluarkan semua sifatnya untuk pasukan," katanya lagi.

"Pada hujung musim ini, kami akan sama-sama melihat apakah kami dapat memajukan hubungan ini. Tetapi buat masa ini, keputusan bukan terletak di tangan kami."

Odegaard sekali lagi dijangka menjadi taruhan untuk berdepan Manchester City pada awal pagi ini dengan kelab London Utara itu mengintai untuk mengakhiri rekod tujuh kekalahan Liga Perdana Inggeris (EPL) berturut-turut kepada seteru berkenaan.