Penjaga gol Atletico Madrid, Jan Oblak kekal yakin gergasi Sepanyol itu masih boleh mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara, walaupun harapan mereka terjejas berikutan kekalahan berturut-turut kepada Liverpool.

Atletico mengharungi malam untuk perlu dilupakan di Anfield, di mana juara LaLiga itu tanpa Felipe ekoran dibuang padang pada separuh masa pertama ketika tewas 2-0 menentang Liverpool awal pagi tadi.

Tewas 3-2 dalam aksi di Madrid, sementara tanpa khidmat Antoine Griezmann yang dilayangkan kad merah sebelum ini, Atletico dibolosi jaringan yang disumbat oleh Diogo Jota dan Sadio Mane sebelum Felipe dilayang kad merah.

Atletico berusaha namun gagal menemui jalan untuk menyamakan kedudukan, dengan keputusan menyaksikan skuad kendalian Diego Simeone kini di tangga ketiga dan satu mata di belakang Porto bagi merebut tempat ke pusingan 16 dengan berbaki dua perlawanan.

"Mereka menjaringkan dua gol mudah, di mana ia tidak boleh berlaku," kata Oblak. "Selepas dua gol itu, sukar untuk bangkit, terutama beraksi dengan 10 pemain.

"Kami kecewa, tetapi pasukan telah berusaha untuk mengelak daripada tewas. Kini bergantung kepada kami dan perlu menang dalam dua perlawanan berikutnya."