ATLETICO MADRID 0 BAYER LEVERKUSEN 0 (Agregat 4-2)

Jan Oblak berkata Atletico Madrid harus berbangga kerana mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah buat musim keempat berturut-turut.


Skuad Diego Simeone mengikat Bayer Leverkusen 0-0 di Vicente Calderon, awal pagi tadi, selepas memperoleh kemenangan 4-2 dalam perlawanan pertama pusingan 16 di Jerman.

Oblak memperagakan aksi cemerlang, termasuk menyelamatkan bola tiga kali pada awal separuh masa kedua, untuk menafikan percubaan Julian Brandt dan Kevin Volland, dengan Atletico menunjukkan prestasi berdisiplin yang memastikan kelebihan agregatnya jarang kelihatan diancam.

Pemain antarabangsa Slovenia itu agak kecewa tidak memenangi perlawanan tetapi percaya skuad yang tewas dalam final musim lalu itu layak dipuji kerana mara ke suku akhir sekali lagi.

"Kami berasa sangat baik," katanya kepada BeIN Sport. "Atletico berada dalam peringkat suku akhir bagi tahun keempat berturut-turut dan ia amat penting untuk kelab.

"Kami berjuang untuk menang. Ia tidak ubah seperti itu tetapi apa yang penting adalah berada dalam suku akhir.

"Sudah tentu, ia bukan mudah untuk berada di dalam kelompok lapan pasukan terbaik di Eropah selama empat tahun. Saya berharap kami terus memperbaiki dan meraih perkara besar."

Atletico adalah pasukan LaLiga ketiga mara ke suku akhir selepas Barcelona dan penyandang juara, Real Madrid.

Undian untuk pusingan berikutnya akan berlangsung pada Jumaat di Nyon.