Bekas pemain tengah Chelsea, John Obi Mikel, memeterai kontrak bersama kelab Liga Kejuaraan, Stoke City.

Bekas ketua pasukan Nigeria itu pernah beraksi dalam divisyen dua England bersama Middlesbrough sebelum menyertai pasukan Super Lig Turki, Trabzonspor.

Namun, Mikel meninggalkan kelab itu Mac lalu berikutan kebimbangan terhadap penganjur liga berkenaan untuk meneruskan perlawanan di tengah-tengah penularan wabak COVID-19 di Eropah.

Dia merupakan pemain keempat yang direkrut Stoke menjelang musim baru susulan kehadiran Morgan Fox, James Chester dan Steven Fletcher ke Stadium bet365.

"Kami gembira dapat membawa John ke kelab ini. Kariernya sudah membuktikan kemampuannya selain menggambarkan kalibernya sebagai pemain," kata pengurus, Michael O'Neill.




"Saya sangat mengaguminya dalam pertemuan pertama kami dan dia menekankan apa yang dimahukan dalam fasa kariernya selepas ini.

"Kami menghabiskan selama empat jam untuk berbincang dan dia menjelaskan keinginan untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dan menamatkan kariernya di sana, mudah-mudahan dia dapat melakukannya bersa,a Stoke City."

Mikel memenangi dua gelaran EPL, tiga trofi Piala FA dan menikmati kejayaan Liga Juara-Juara (UCL) 2011-12 dalam karier gemilangnya bersama Chelsea.

Dia pernah mewakili Nigeria sebanyak 91 kali, beraksi dalam dua edisi Piala Dunia dan menjulang Piala Negara-Negara Afrika 2013 sebelum mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa tahun lalu.