Bekas pemain import Pahang, Dickson Nwakaeme, percaya Mohamadou Sumareh tidak pernah berniat untuk berpatah arang dengan Pahang.

Di matanya, Sumareh masih ada rasa sayang kepada bekas pasukannya Pahang dan itu mampu menjadi petanda positif untuk jalan penyelesaian dicapai dalam masa terdekat.

Nwakaeme masih berada bersama Pahang, ketika isu Pahang-Sumareh bermula pada 2019.

Namun mengenali Sumareh, Nwakaeme berasakan bukan kemahuan Sumareh untuk mengheret pasukan itu hingga ke badan induk bola sepak antarabangsa, FIFA memandangkan jasa besar Pahang kepada pemain itu.

Malah Nwakaeme tidak tolak kemungkinan tindakan sebegitu dibayangi pihak ketiga yang mengambil kesempatan ekoran situasi Pahang ketika itu.

"Sesetengah pihak lain yang mendesak untuk melakukan perkara ini kerana saya mengenali Sumareh dan dia seorang yang baik hati," katanya.

"Saya telah melihat ramai pemain keluar masuk pasukan dan saya boleh membaca perwatakan seseorang dan saya yakin Sumareh masih lagi memiliki hati untuk Pahang."

Keputusan FIFA mengarahkan Pahang membayar sejumlah RM4.9 juta kepada Sumareh adalah satu jumlah besar yang mampu merencatkan perjalanan Pahang musim ini.



Nwakaeme percaya kemelut itu mampu berubah dengan kata sepakat kedua-dua pihak demi kebaikan semua pihak.

"Saya masih sayangkan Pahang dan saya telah bercakap dengannya dia amat sayangkan Pahang. Agak memalukan isu ini berlaku dan ketika ini saya tidak memiliki sebarang kuasa untuk menangani isu ini ," katanya lagi.