KUALA LUMPUR 1 PAHANG 3

Dickson Nwakaeme menandakan kepulangannya ke pangkuan Pahang musim ini dengan meledak dua gol untuk membenam Kuala Lumpur, sebentar tadi.


Pahang membuka kempen Liga Super dengan kemenangan 3-1 apabila meratah tuan rumah di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Pahang bermula dengan rentak berhati-hati apabila The City Boys terlebih dahulu mencetuskan peluang pertama sebelum Pahang mencipta asakan bertali arus ke kubu lawan.

Nwakaeme memiliki setidak-tidaknya dua peluang menarik menerusi rembatan derasnya sebelum Saddil Ramdani memecah kebuntuan perlawanan untuk meletakkan Pahang mendahului 1-0 pada minit ke-24.

Namun, skuad tuan rumah bimbingan Yusri Che Lah mengikat kedudukan menerusi sentuhan penyudah Afiq Ahmad Razali, tiga minit selepas permainan bersambung.

Situasi itu membuatkan Pahang tersentak untuk memperkemaskan permainan dan pelawat tidak perlu menunggu lama untuk kembali di hadapan apabila Nwakaeme menyumbat gol dari jarak dekat, empat minit berselang.

Pahang terus memberikan tekanan kepada Kuala Lumpur dan akhirnya Nwakaeme mengesahkan kemenangan mereka apabila menyumbat gol kedua peribadinya pada masa kecederaan setelah mempamerkan larian deras untuk memperdayakan pertahanan dan penjaga gol sebelum menolak masuk bola ke gawang yang sudah ternganga.