"Umpama pulang ke kampung halaman selepas bercuti." Itu reaksi penyerang Pahang, Dickson Nwakaeme, yang mahu membuktikan kemunculan semulanya mampu menampung kekurangan pasukan itu musim lalu.

Nwakaeme tidak kekok sepanjang bersama dengan Pahang sejak dua minggu lalu.

Sedar dengan harapan yang disandarkan kepadanya, situasi itu menambahkan lagi keterujaannya untuk beraksi menentang Kuala Lumpur, malam ini.

Menganggap Pahang umpama tanah kelahirannya, Lagos, Nigeria, Nwakaeme yakin Pahang mampu membuka langkah kanan di Stadium Cheras.

"Setahun berehat, saya amat teruja untuk beraksi hari ini.

"Bagi saya, mudah untuk mencipta keserasian dalam bola sepak," katanya.

Menurutnya, keupayaan skuad Tok Gajah musim ini jauh lebih baik daripada skuad yang dibintanginya tiga tahun lalu.

Tambahnya, ia melibatkan barisan serangan yang menampilkan nama-nama pemain berpengalaman seperti Ze Love, Saddil Ramdani, Mohamadou Sumareh serta kelibat penyerang tempatan. Norshahrul Idlan Talaha.

"Pasukan musim ini adalah lebih baik.

"Pasukan ini berwajah baru. Sudah tentu kami pernah mengecapi kejuaraan tiga musim lalu, namun skuad tahun ini lebih mantap," katanya.