Pemain serba boleh Selangor, Nurridzuan Abu Hassan, menganggap tugas pertahanan kiri sebagai cabaran baru buat dirinya setelah enam tahun tidak beraksi di posisi itu.

Nurridzuan antara pemain tempatan ternama yang menyertai Selangor musim ini selain Syazwan Zainon, Faiz Nasir dan Latiff Suhaimi.

Disandarkan harapan sebagai pemain tengah dan sayap, bekas bintang Harimau Muda itu gagal menyinar dalam beberapa aksi awal Liga Super.

Namun, dia berjaya menyerlahkan potensi sebenarnya dalam pertemuan menentang Pahang, Ahad lalu, selepas diletakkan di posisi pertahanan kiri.

"Saya memang terpaksa bekerja keras, itu taktikal daripada jurulatih. Sejak awal, dia letakkan saya di bek kiri dan mengawal Mohamadou Sumareh selain meminta saya kurangkan 'overlapping'," katanya.

Pemain kelahiran Perak itu mungkin perlu memberi tumpuan sebagai bek kiri memandangkan Selangor kurang pemain berkualiti di posisi itu.

Ia juga dilihat sebagai satu kebaikan buat Nurridzuan kerana mampu beraksi di beberapa posisi untuk dicanang sebagai pertahanan kiri Harimau Malaya.

"Terpulang kepada jurulatih. Sebelum ini, saya bermain di bahagian serangan tetapi kini diletakkan di posisi pertahanan," tambahnya.

"Enam tahun lalu, saya pernah diletakkan di posisi bek kiri oleh pengendali skuad Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee, dan itu sahaja pengalaman yang saya ada."