BRISTOL CITY 0 WOLVES 1

Nuno Espirito Santo berharap kemaraan Wolves ke pusingan suku akhir Piala FA buat kali pertama sejak 16 tahun lalu akan diadakan di Molineux selepas pasukannya menewaskan Bristol City 1-0 dalam pusingan kelima.


Jaringan Ivan Cavaleiro memastikan kemenangan Wolves di Ashton Gate, dengan The Robins berusaha melancarkan asakan demi asakan ke arah Wolves ketika perlawanan melewati penghujung tetapi gagal menewaskan penjaga gol, John Ruddy.

Penyerang kelahiran Portugal, Cavaleiro, muncul wira Wolves dalam pusingan keempat ketika meledak jaringan kemenangan ke atas Shrewsbury Town, dan Nuno menganggap pemain berusia 25 tahun itu telah memberikan kegembiraan kepada penyokong pasukan.

"Saya sangat gembira," kata Nuno.

"Ia merupakan perlawanan yang sukar tetapi saya menumpang kegembiraan penyokong.

"Kami telah cuba mencari jalan tetapi lawan menyukarkan kami kerana mereka bertahan dengan ramai pemain di samping kerap melakukan hantaran jauh untuk menembusi pertahanan kami.

"Lawan memberikan ruang kepada kami dalam separuh masa pertama, kami menggunakannya untuk meledak jaringan. Tetapi mereka mengubah strategi dan menjadi lawan yang sukar buat kami.

"Saya berharap dapat beraksi di Molineux dalam pusingan seterusnya.

Nuno memuji pertahanan, Matt Doherty, kerana berjaya menghadirkan masalah kepada City sepanjang perlawanan sementara melakukan bantuan jaringan buat Cavaleiro pada minit ke-28.

Pemain kebangsaan Republik Ireland itu merupakan kunci kemenangan skuad bimbingan Nuno itu untuk layak ke Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan terus menyerlah dalam saingan tertinggi berkenaan.

"Dia memiliki jantung yang besar. Dia kerap melakukan larian ketika menyerang dan kembali bertahan untuk pasukan.

"Ia adalah satu tugas yang sukar tetapi dia terus berlari. Kami sangat gembira dengan usahanya.

"Musim lalu Doherty melakukan tugas yang cemerlang dan dia mahu membuktikan sesuatu dalam EPL musim ini."