Pengurus Tottenham, Nuno Espirito Santo, bertanggungjawab atas kekalahan 1-3 pasukannya kepada Arsenal dalam pertembungan 'derby' utara London, malam tadi.

Jaringan Emile Smith Rowe, Pierre-Emerick Aubameyang dan Bukayo Saka dalam aksi separuh masa pertama sudah cukup untuk mengetepikan Spurs dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang mendebarkan di Stadium Emirates itu.

Son Heung-min meledak gol sagu hati buat pelawat pada lewat permainan untuk Spurs tewas ketiga-tiga perlawanan terakhir liga mereka dengan agregat jaringan 9-1.

Tottenham muncul pasukan kedua dalam sejarah EPL yang memenangi tiga perlawanan pertama musim ini, kemudian kalah dalam tiga perlawanan berikutnya selepas Everton melakukannya pada 1993-94 yang kemudian menamatkan kempen di tempat ke-17.

Pasukan bimbingan Nuno itu berada di kedudukan teratas pada hujung bulan lalu, tetapi mereka kini menuju ke bulan depan di bawah Arsenal buat pertama kalinya sejak hampir 12 bulan lalu.





"Persembahan kami tidak bagus. Rancangan kami tidak bagus. Keputusannya juga tidak bagus. Jadi ia bukan hari yang baik bagi kami. Pasti bukan hari yang baik," katanya kepada Sky Sports.

"Saya perlu bersikap jujur. Apabila mempunyai taktikal permainan, kami harus membuat keputusan yang tepat daripada segi siapa yang ingin anda tentukan di atas padang bagi mengembangkan perancangan itu.

"Saya bertanggungjawab atas keputusan tidak tepat untuk bertindak mengikut strategi yang diterapkan. Saya tidak akan menamakan individu itu tetapi taktikal berkenaan itu menjadi tidak kena berdasarkan pemain yang berada di atas padang.

"Kami tidak cukup agresif untuk mengendalikan dinamik Arsenal di bahagian tengah. Kami menderita ketika ingin maju dan kami membiarkan Arsenal mara ke arah kami. Oleh itu, kami mencatat keputusan buruk."