Nuno Espirito Santo masih tidak pasti sama ada Tottenham dapat menurunkan Harry Kane atau tidak dalam perlawanan menentang bekas pasukan kendaliannya, Wolves, hujung minggu ini.

Spurs akan berkunjung ke Portugal bagi pusingan kelayakan Liga Persidangan Europa (UECL) menentang Pacos de Ferreira awal pagi esok.

Kane, yang dilaporkan masih mahu meninggalkan kelab itu untuk menyertai Manchester City, tidak tersenarai bagi perlawanan itu walaupun Spurs menegaskan ia disebabkan kapten England berkenaan sedang menumpukan untuk meningkatkan kecergasannya di padang latihan.

Pemain berusia 28 tahun itu, yang baru kembali menyertai latihan pasukan itu Jumaat lalu, tidak terlibat ketika Spurs menewaskan City 1-0 dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu.

Wolves, pasukan yang ditinggalkan Nuno selepas tamat musim lalu, akan menjadi lawan Tottenham yang seterusnya tetapi status Kane dalam perlawanan itu masih menjadi persoalan.

"Saya tidak dapat menjawab persoalan ini, apa yang saya boleh jawab adalah keadannya semakin baik, semakin cergas dan dia akan menyertai pasukan kami Jumaat ini. Kemudian, kita akan lihat," kata Nuno dalam sidang media.

"Dia kelihatan lebih baik daripada semalam dan harap-harap dia akan menjadi lebih baik esok. Itulah yang perlu dilakukan semua pemain: sentiasa berkembang dan berusaha meningkatkan kecergasan."

Ditanya sama ada dia sudah berhubung dengan Kane, Nuno menambah: "Kami bercakap dengan semua pemain setiap hari. Ia perkara normal untuk kami bercakap dengan mereka."