Nuno Esprito Santo merancang untuk berbincang secepat mungkin dengan Harry Kane selepas penyerang itu disahkan sudah kembali ke pangkuan Tottenham Hotspur menjelang musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL).

Masa depan Kane di Spurs mula kabur selepas secara terbuka menyatakan keinginannya untuk meninggalkan kelab itu.

Tawaran Manchester City sebanyak £100 juta (RM587.10 juta) untuk mendapat Kane dilaporkan telah ditolak pada awal jendela perpindahan kali ini tetapi pasukan juara bertahan itu dilihat sebagai calon utama untuk mendapatkan pemenang Anugerah Kasut Emas berkenaan.

Selepas memainkan peranan penting ketika England layak ke final Euro 2020, pemain berusia 28 tahun itu tidak melapor diri bagi latihan pramusim seperti yang dijangkakan kelab itu.

Kane mengeluarkan satu kenyataan dalam media sosialnya menjelaskan bahawa dia telah kembali ke pangkuan kelab itu Sabtu lalu seperti yang dirancang sambil menambah: "Saya tidak akan mengabaikan hubungan yang saya ada dengan penyokong yang telah memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi sepanjang saya bersama kelab ini."

Pada ketika Kane akan melengkapkan tempoh kuarantinnya dan menjalani ujian fizikal, Spurs meneruskan persiapan pramusim mereka dengan menewakan Arsenal 1-0 awal pagi tadi.

"Harry sudah bersama kami," kata Nuno, yang dilantik ketua jurulatih Tottenham pada Jun lalu, mengesahkan perkara itu selepas perlawanan berkenaan.

"Dia perlu menjalani kuarantin di The Lodge tetapi sudah menjalankan ujian pertamanya bersama ahli sains sukan, jadi dia sudah bersama kami

"Saya akan bercakap degan Harry secepat mungkin." katanya.