Sepanjang jendela perpindahan ini, Chelsea dibicarakan tentang keaktifan mereka dalam pasaran, Manchester United tentang usaha mereka menghidupkan semula pasukan sambil Arsenal dan Manchester City pula mengetengahkan penyerang-penyerang baru.

Bagaimana pula dengan pasukan yang hampir berjaya menggondol empat trofi musim lalu, Liverpool?

Sebelum musim 2021-22 berakhir lagi, penyerang, Sadio Mane, disebut-sebut bakal meninggalkan kelab selepas enam tahun menabur bakti.

Ternyata perkara itu menjadi realiti setelah dia memilih Bayern Munich sebagai destinasi seterusnya dan dipetik sebagai berkata bahawa keputusan itu merupakan keputusan terbaik dalam hidupnya sewaktu sesi temu bual beberapa minggu lalu.

Liverpool pantas mengatur langkah untuk menggantikan tempat Mane yang lebih banyak beraksi di bahagian penyerang tengah, setelah Luis Diaz dibawa masuk untuk mengisi posisi sayap kiri, dan pilihan mereka adalah Darwin Nunez, penyerang muda dari Uruguay yang berpotensi besar.


Nama Nunez mula melonjak setelah mengecapi satu musim yang cukup berjaya bersama kelab Portugis, Benfica, di mana dia menjaringkan 26 gol dalam 28 penampilan, serta menyumbat enam gol dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) untuk menobatkan dirinya sebagai penjaring terbanyak kelab dalam sejarah pertandingan tersebut.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, dikatakan cukup tertarik dengan Nunez setelah menyaksikan persembahannya sewaktu pasukannya menentang Benfica musim lalu.

"Kami tahu dia merupakan pemain paling bahaya dalam pasukan Benfica, maka kami telah melakukan kajian sedalam-dalam terhadapnya sehinggakan saiz kasut dia pun kami tahu.

"Tetapi apabila beraksi di hadapan mata, dia masih tetap mampu menghadirkan kejutan daripada segi teknik, kepintaran dan membuatkan pemain kami berhadapan masalah untuk mengekang gerakannya," ujar Klopp.

Setelah mengetahui yang Liverpool mempunyai peluang untuk membeli Nunez, Klopp tidak memerlukan masa yang lama untuk bersetuju, bidaan setinggi £85 juta (RM461 juta) dilakukan dan disempurnakan dalam jangka masa singkat.

Apabila selesainya segala urusan perpindahan, Nunez sempat untuk menyertai skuad Liverpool dalam siri jelajah pra-musim dan di sinilah soalan-soalan mula ditanyakan.

Liverpool dibelasah secara mengejut oleh Manchester United dalam perlawanan pra-musim pertama, sebelum mencatatkan kemenangan mudah ke atas Crystal Palace dan RB Leipzig tetapi tewas sekali lagi kepada Red Bull Salzburg semalam.

Nunez menjaringkan empat gol sewaktu menentang RB Leipzig tetapi kelihatan masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan pasukan dalam perlawanan-perlawanan lain.

Menurut laporan The Daily Mail, peminat-peminat sudah mula menjadikan Nunez sebagai bahan jenaka dengan memuat naik satu video kompilasi yang memaparkan segala kesilapan pemain itu sewaktu perlawanan-perlawanan tersebut, lalu video itu diberikan tajuk 'Nunez menjadikan perkara mudah kelihatan mustahil'.

Malah, dia disebut-sebut bakal menghadapi nasib serupa dengan penyerang Chelsea, Romelu Lukaku, yang keupayaannya dihamburkan pujian tinggi sebelum menyertai pasukan tetapi berakhir dengan kegagalan.

Dalam temu bual pasca perlawanan menentang Salzburg, Klopp menegaskan yang Nunez seringkali terpinggir berseorangan dalam kotak penalti lawan tanpa sebarang sokongan, maka perkara itu harus diubah sebelum musim baru bermula.

Kehadiran Nunez dalam pasukan Liverpool nampaknya mengehadkan peluang kepada seorang lagi penyerang yang telah lama menabur bakti, Roberto Firmino.

Biarpun pernah menjadi pemain penting dalam skuad sebelum ini, Firmino dilihat terpaksa memberikan ruang buat Nunez untuk dibentuk sebagai pemain utama dan harus bersabar menggalas tanggungjawab sebagai pemain gantian semata-mata sedangkan kontraknya berbaki setahun sahaja lagi.

Ini mendorong kepada ura-ura bahawa khidmatnya diintai oleh Juventus, di mana pengurus mereka, Massimilimo Allegri, dikhabarkan berminat untuk menjadikannya sebagai pemain yang memberikan sokongan kepada penyerang utama, Dusan Vlahovic.

Klopp bagaimanapun menidakkan ura-ura ini dengan mengatakan yang Firmino dianggapnya sebagai teras kepada pasukan dan tidak akan dijual.

Kita bakal menyaksikan bagaimana Nunez serta Liverpool mengharungi ujian besar pertama mereka untuk musim baru ini sewaktu berhadapan dengan Manchester City dalam perlawanan Perisai Komuniti lusa.

Adakah tekanan dan harapan tinggi bakal membakar semangat Nunez ataupun adakah dia masih lagi memerlukan masa untuk menunjukkan prestasi optimum?