Nottingham Forest tandatangani Awoniyi dengan rekod termahal

Muzaffar Musa
Jun 26, 2022 02:30 MYT
Pasukan yang baru dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris (EPL), Nottingham Forest, memecahkan rekod pembelian termahal kelab itu untuk menandatangani penyerang, Taiwo Awoniyi.
Forest, yang akan kembali ke liga divisyen utama buat kali pertama selepas 23 tahun, dilaporkan menebus klausa pelepasan bernilai £17.2 juta (RM92.86 juta) untuk mendapatkan Awoniyi daripada Union Berlin.
Pemain kebangsaan Nigeria itu pernah menghabiskan enam tahun di Liverpool tetapi hanya mendapat permit kerja United Kingdom pada tahun terakhirnya sebelum menyertai Union Berlin secara tetap.
Liverpool dilaporkan akan menerima 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pembayaran yang dilakukan Forest untuk mendapatkan Awoniyi, yang menjaringkan 15 gol daripada 31 penampilan Bundesliga musim lalu.
Dalam kesemua kejohanan, penyerang itu -- yang sebelum ini hanya merupakan pemain pinjaman buat Union dalam musim pertamanya -- mengumpulkan 20 gol daripada 43 penampilan.

He’s here. ?? #NFFC #PL pic.twitter.com/6Jau8IoDM4

— Nottingham Forest FC (@NFFC) June 25, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Awoniyi, yang mengikat kontrak lima tahun di The City Ground dan mengatasi rekod pembelian termahal untuk mendapatkan Joao Carvalho dengan £13.2 juta (RM71.26 juta) pada 2018, berkata: "Saya amat teruja untuk berada di Nottingham Forest.
"Ia sentiasa menjadi impian saya untuk bermain dalam EPL dan saya sudah bercakap dengan Steve Cooper mengenai impian kami dan berdasarkan apa yang saya lihat, Forest mempunyai sejarah yang hebat, ia sebuah kelab yang saya mahu menjadi sebahagian daripadanya."
#bola sepak #Union Berlin #Nottingham Forest #Liga Perdana Inggeris