Norwich City telah melantik Dean Smith sebagai ketua jurulatih baharu mereka dengan kontrak selama dua tahun setengah.

Dia menggantikan Daniel Farke, yang dipecat oleh Canaries selepas kemenangan 2-1 baru-baru ini di Brentford, satu-satunya kemenangan mereka musim ini setakat ini.

Smith telah dipecat oleh Aston Villa pada hujung minggu yang sama, tetapi pengendali berusia 50 tahun itu tidak pernah menganggur untuk sekian lama kerana dia kini telah ditugaskan untuk membimbing kelab Carrow Road itu daripada tangga terbawah Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Ia merupakan minggu yang mengejutkan bagi saya, tetapi kini saya sangat gembira dapat kembali dan bertugas untuk Norwich City dalam EPL,” kata Smith, yang akan disertai oleh bekas pembantunya di Villa, Craig Shakespeare.

"Jelas sekali, terdapat beberapa kerja hebat yang telah dilakukan oleh kelab bola sepak ini sejak empat setengah tahun yang lalu. Kini menjadi tugas saya dan Craig untuk meneruskan dan memperbaiki kerja itu dengan matlamat utama untuk bertahan dalam Liga Perdana.

"Dari umur 16 tahun saya telah bekerja dalam bola sepak. Saya fikir dalam masa itu saya telah berehat selama empat bulan dan tidak menikmatinya. Ia bagus untuk kembali terus bersama kelab yang berazam untuk menjadi progresif.


"Saya sentiasa berusaha untuk menambah baik dan membangunkan pemain -- dengan itu jelas menunjukkan prestasi yang lebih baik. Saya benar-benar kagum dengan idea, struktur dan visi yang sudah sedia ada di kelab ini."