Antonio Conte tidak sabar untuk membawa Inter Milan kembali ke zaman kegemilangan selepas menikmati kejayaan sewaktu mengendalikan seteru utama, Juventus.

Pengurus berusia 49 tahun itu dinamakan selaku pengganti Luciano Spalletti, 31 Mei lalu, untuk menamatkan penantian jawatan baru sejak dipecat oleh Chelsea.

Conte kembali ke kancah bola sepak tertinggi Itali selepas lima tahun meninggalkan Juve, di mana dia meraih lima kejuaraan utama, termasuk tiga trofi Serie A.

Juve merupakan seteru utama Inter tetapi bekas pengurus Itali itu menegaskan tugas menguruskan beberapa kelab adalah normal dan menegaskan dia sedia untuk menamatkan kemarau trofi buat pasukannya tatkala mereka kali terakhir meraih kejuaraan lapan tahun lalu menerusia Piala Itali.

Conte -- yang turut menyarung jersi gergasi Turin itu selama 13 tahun sewaktu bergelar pemain -- berkata: "Normal untuk bekerja dengan banyak kelab. Saya mahu membawa Inter kembali ke laluan sebenar. Peminat menaruh harapan dan mereka menyokong pasukan dengan baik.

"Saya perlu bekerja keras. Saya harus berusaha dan itu cara saya. Saya boleh menerima kemenangan yang sedikit sebelum ini tetapi ia perlu diubah. Kami boleh menang tanpa batasan."

Conte turut dikatakan menjadi calon untuk menggantikan Massimiliano Allegri di Juve, namun dia diyakinkan dengan cabaran baru bersama Inter selepas mengadakan perbincangan dengan ketua eksekutif, Giuseppe Marotta, dan pengerusi, Steven Zhang.

"Marotta membantu saya menyertai Inter kerana itu bukti mereka serius dengan keinginan yang ada," tambahnya.

"Selama lapan tahun, mereka tidak meraih kejuaraan. Mereka mahu mengubahnya dan saya tertarik dengan kemahuan Zhang.

"Saya tahu harapan diletakkan di bahu saya memandangkan keputusan yang diraih Juve serta perkembangan yang ditunjukkan."

Inter menamatkan musim 2018-19 di tangga keempat Serie A, 21 mata di belakang Juventus yang bergelar juara.