Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menegaskan bahawa Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan pasukan terbesar di Malaysia pada ketika ini sebagai respons kepada kenyataan yang dikeluarkaan penyerang Selangor, Ifedayo Olusegun.

Ifedayo dalam satu temu bual Man on The Street pada April lalu berkata Selangor merupakan kelab terbesar di Malaysia berdasarkan jumlah piala yang telah dimenangi pasukan itu sepanjang sejarah mereka dalam Liga Malaysia.

Bagaimanapun, TMJ selaku pemilik JDT berpandangan cara penilaian yang digunakan Ifedayo itu kurang tepat kerana berdasarkan keadaan semasa, JDT telah jauh meninggalkan Selangor daripada pelbagai aspek.

Menerusi strim langsung Nindia Bola bersama Hafizal Hamad dan wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, malam tadi, TMJ berkata: "Apa yang saya akan cakap hari ini, saya harap semua pihak boleh terima kerana saya tidak bercakap berdasarkan emosi tetapi saya bercakap berdasarkan fakta.

"Mungkin daripada segi sejarah, Selangor lebih besar daripada JDT.

"Tetapi berdasarkan kedudukan semasa, JDT adalah kelab terbesar dalam negara.

"Saya bagi contoh, berapa pusat latihan yang Selangor ada? JDT ada empat.

"Berapa stadium yang Selangor ada? JDT ada empat.

"Pernahkah Selangor sewaktu zaman kegemilangannya memenangi Liga Super lebih daripada dua kali? JDT hatrik, bukan sekali tetapi dua kali. Satu-satunya kelab dalam negara yang dapat melakukannya.

"Dalam zaman kegemilangan Selangor, pernahkah Selangor memenangi liga dengan rekod tanpa kalah? JDT menang dua kali dengan rekod tanpa kalah.

"JDT juga memenangi liga dengan rekod bolos terendah dan jaringan tertinggi dalam sejarah bola sepak Malaysia.

"Dan JDT juga pernah merekodkan 75 perlawanan tanpa kalah secara berturut-turut di laman sendiri.

"Dan hari ini, kami masih belum kalah di laman lawan sebanyak 33 perlawanan.

"Pernahkah Selangor menang kejohanan antarabangsa? JDT menang Piala AFC.

"Pernahkah Selangor bermain dalam Liga Juara-Juara Asia? Kita bercakap dengan senario terkini bola sepak moden seperti hari ini, JDT sudah bermain tiga kali dalam Liga Juara-Juara Asia.

"Jadi itu adalah pencapaian-pencapaian JDT.

"Berapa ramai pengikut yang JDT ada dalam media sosial jika anda gabungkan daripada Twitter, Instagram dan Facebook? Lebih kurang empat juta. Berapa banyak pula pengikut yang Selangor ada dalam media sosial?

"Kita dapat lihat daripada segi nilai komersial.

"Saya bercakap berdasarkan fakta dan bukannya berdasarkan hati. Ia tentang apa yang telah dicapai (JDT).

"Jadi dengan kesemua pencapaian JDT di dalam dan luar padang, bagaimana Selangor boleh menjadi kelab yang lebih besar daripada JDT? Pada pandangan saya ia tidak logik," kata TMJ.