Pengurus AC Milan, Gennaro Gattuso, menghamburkan pujian buat penyerang, Andre Silva, selepas pemain Portugal itu menjaringkan gol kemenangan 1-0 ke atas Genoa, awal pagi tadi.

Silva melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola hantaran Suso pada waktu kecederaan ketika perlawanan menuju wisel penamat, membolehkan Milan meneruskan aksi tanpa kalah dalam saingan liga kepada sembilan perlawanan.

Situasi itu membuatkan Gattuso berpendapat bahawa penyerangnya itu meraih impak daripada jersi nombor 9 yang digunakan sambil menyifatkan nilai prestij jersi tersebut menjadi faktor utama.

Walaupun segalanya tampak suram buat Silva sejak tiba di Milan pada musim panas lalu, Gattuso yakin sejarah yang melibatkan penyerang legenda Milan seperti Filippo Inzaghi, George Weah dan Marco Van Basten akan memberikan kesan positif kepada bekas pemain Porto itu.

“Saya gembira melihat Silva mencatat jaringan pertama dalam Serie A.

“Untuk memikul tanggungjawab nombor jersi yang digunakan, ia bukan perkara mudah tetapi walaupun masih muda, dia perlu sentiasa bekerja keras dan percaya pada diri sendiri,” kata Gattuso.

Gol kemenangan pada minit terakhir perlawanan itu membolehkan Milan kembali ke rentak kemenangan selepas tewas 0-2 di tangan Arsenal dalam aksi Liga Europa, Jumaat lalu.

Kekalahan itu adalah yang pertama sejak Disember, membuatkan Gattuso berdebar-debar untuk melihat kebangkitan anak-anak buahnya.

“Kami sangat risau dan saya gementar menantikan bagaimana barisan pemain memberikan reaksi selepas melalui kekalahan itu. Mujur mereka mempamerkan aksi positif.

“Saya mendengar banyak komen mengenai kelebihan fizikal kami ketika berdepan Arsenal tetapi kami tidak begitu berdisiplin.

“Kami menampilkan aksi yang berbeza dengan perancangan serta persiapan yang telah diadakan sebelum itu sementara Arsenal memiliki kualiti untuk menempatkan bola dimana-mana sahaja sekiranya anda memberikan mereka ruang.

“AC Milan tidak akan bertandang ke London sambil berjalan-jalan. Kami menyarung jersi yang memberi makna besar, jadi sama-sama kita lihat apa akan jadi minggu depan.”