Pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, mengakui semangat tidak mudah menyerah kalah menjadi punca terhasilnya gol penyamaan untuk membantu The Red Warriors (TRW) seri 1-1 dengan Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam kelmarin.

“Alhamdulillah, syukur kerana Kelantan berjaya mengutip satu mata biarpun terpaksa menunggu sehingga minit akhir perlawanan sebelum dapat membolosi gawang Negeri Sembilan.

“Gol penyamaan itu sebagai lambang kerja keras pasukan yang tidak mudah menyerah kalah biarpun di ambang kekalahan,” katanya.

Nik Akif yang juga tonggak muda skuad B-23 negara, mengakui jaringan pertama dalam Liga Super musim ini menjadi pembakar semangat mudanya untuk terus mencipta kejayaan.

“Insya-Allah kalau ada rezeki, saya harap dapat diturunkan lagi untuk perlawanan seterusnya.

“Penting kepada saya terus diberi peluang beraksi dalam setiap perlawanan biarpun terpaksa bermula di bangku simpanan untuk kekalkan aksi konsisten," katanya.

Dalam pertembungan melibatkan dua pasukan tercorot liga itu, skuad tuan rumah kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan melalui penyerang import, Flavio Beck Junior, sebelum Nik Akif tenang mengelecek pertahanan Negeri Sembilan sambil merembat kencang untuk gol penyamaan pada minit akhir permainan.