Pengurus Terengganu FC (TFC), Shahrizal Yahya, menyifatkan berita mengaitkan pasukan itu dengan bintang Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, sebagai satu khabar angin.

Selain mengharapkan tiada spekulasi dibuat tentang pemain itu, Shahrizal berkata segala keputusan terletak di tangan ketua jurulatih, Mohd Nafuzi Zain, yang kini berada di Bangladesh.

Justeru, kedudukan tonggak skuad B-23 negara itu bersama TFC untuk musim depan tidak dapat dipastikan walaupun mungkin ada rundingan dapat dibuat.

"Difahamkan dia (Nik Akif) masih terikat dengan kontrak bersama Kelantan dan kami perlu menghormati situasi itu.

"Tambahan pula ada prosedur yang perlu dipatuhi. Jadi, kami tidak mahu mengeruhkan keadaan dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA)," katanya.

Sejak semalam, tular dalam media sosial kedua-dua pasukan seakan-akan mengesahkan perpindahan Nik Akif ke pasukan Pantai Timur, iaitu TFC.

Pengaruh Nafuzi bakal memainkan peranan dalam rombakan skuad TFC yang menyaksikan beberapa pemain senior dikatakan tidak akan ditawarkan kontrak baru.

Antaranya pemain sayap, Ahmad Syamim Yahya, Shahrul Aizad Zulkifli, Khairul Izuan Rosli, Nabil Ahmad Latpi serta penjaga gol, Wan Muhamad Azraei Wan Teh.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)