Pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, tidak mahu rakannya terlalu yakin, sebaliknya perlu bekerja keras memberikan aksi terbaik untuk memburu kemenangan pertama menentang pendatang baru, Selangor United, dalam aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, petang ini.

“Kami perlu berhati-hati dan jangan terlalu yakin kerana kejutan boleh berlaku. Kami beraksi di gelanggang lawan dan sedar Selangor United membuat persiapan rapi menjelang perlawanan pertama ini.

“Kelantan perlu turun dengan semangat juang yang tinggi sambil mencuba segala taktikal yang diberikan jurulatih (Marko Kraljevic) untuk melemahkan skuad lawan,” katanya.

Nik Akif yang juga tonggak muda skuad B-23 negara juga mengakui persefahaman antara pemain import dan tempatan cukup penting bagi The Red Warriors (TRW) untuk mendapatkan keputusan positif dan menarik kembali sokongan peminat.

“Musim ini, TRW hanya mengekalkan kapten (Cassio De Jesus). Selebihnya, tiga pemain import baru dan harap mereka cepat serasi dengan rakan sepasukan untuk membentuk gandingan yang mantap.

“Selain itu, kami perlu beraksi dengan corak persembahan yang menarik demi memikat semula penyokong setia TRW kembali semula ke stadium,” katanya.

Ditanya mengenai kemunculan semula Kraljevic sebagai ketua jurulatih TRW menggantikan Yusri Che Lah, Nik Akif mengakui bekas lagenda Kelantan dan pengendali Balestier Khalsa FC dalam Liga Singapura itu mempunyai aura tersendiri dan sangat dihormati pemain.

“Dia (Kraljevic) sangat dihormati di sini dan kami harap dapat menggunakan segala pengalaman yang ada untuk membantu Kelantan kembali menjadi pencabar kejuaraan liga musim ini,” katanya.