Ketua jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof, mahu pemain-pemainnya bangkit menamatkan badi dua kekalahan berturut-turut apabila turun sekali lagi menentang pasukan tercorot, Kelantan, dalam saingan Liga Super di Stadium Darulaman, malam ini.

Aksi di laman sendiri sepatutnya menjadi medan terbaik pemain Lang Merah bangkit semula mencipta kemenangan selepas dikejutkan skuad bimbingan Yusri Che Lah itu 2-1, Selasa lalu.

Kekalahan itu juga menyebabkan kedudukan Kedah dalam kelompok empat pasukan terbaik Liga Super mula dicabar Terengganu dan PKNS FC.

"Walaupun beraksi baik dalam separuh masa pertama dan mendapatkan gol awal, dua jaringan pantas Kelantan mengecewakan kami.

"Kami tidak bernasib baik biarpun menguasai keseluruhan permainan. Jentera serangan kurang menjadi dan kecekapan penjaga gol Kelantan menyebabkan kami gagal menambah jaringan," katanya.

Nidzam juga mengesahkan tiada sebarang rombakan besar ke atas kesebelasan utama akibat kekalahan kepada TRW, Selasa lalu, sebaliknya mahu jentera serangan lebih kreatif menyempurnakan setiap peluang yang terhidang.

"Tiada rombakan pemain dalam kesebelasan utama, cuma penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim, terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

"Mungkin penjaga gol muda, Ramadhan (Abd. Hamid) akan diberi peluang untuk beraksi menentang pasukan lamanya. Kita tengok nanti," tambahnya.

"Saya juga mahu jentera serangan yang diketuai Paulo Rangel lebih kreatif menyempurnakan setiap gerakan untuk menghasilkan jaringan.

"Insya-Allah, badi dua kekalahan berturut-turut mampu ditamatkan," katanya lagi.

Untuk rekod, skuad Hijau Kuning berada di tangga keempat Liga Super dengan 21 mata hasil daripada enam kemenangan dan tiga keputusan seri manakala Kelantan di tempat tercorot dengan 11 mata.