Jurulatih Kedah, Muhammad Nidzam Adzha Yusoff, berpuas hati dengan prestasi pemainnya sekalipun mereka terus kempunan meraih tiga mata di laman sendiri selepas Negeri Sembilan mempamer kebangkitan dramatik untuk mengikat kedudukan 3-3 dalam Liga Super di Stadium Darulaman, semalam.

"Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan perlawanan, cuma kami sering dihukum ketika melakukan kesilapan," katanya.

Skuad Jang berkunjung ke Alor Setar dengan misi untuk mengakhiri rentetan kegagalan meraih kemenangan sejak Februari lalu.

Namun, ternyata ia bukan satu tugas mudah berdepan Kedah yang tampak ampuh di bawah bimbingan Nidzam.

Seawal minit kedua, Kedah sudah berada di depan susulan hantaran Baddrol Bakhtiar berjaya disudahkan Liridon Krasniqi.

Selepas itu, Negeri Sembilan bangkit menyamakan kedudukan dua minit kemudian hasil jaringan N. Thanabalan yang berjaya menghidu peluang di depan gol.

Begitupun, pendahuluan kembali memihak Kedah apabila hantaran Krasniqi disudahkan Mohd Syazwan Zainon pada minit ke-27.

Kedah kemudian dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-30 susulan Sandro da Silva dikasari pertahanan lawan dan peluang itu disempurnakan sendiri da Silva untuk membawa kedudukan kepada 3-1 dalam separuh masa pertama.

Negeri Sembilan seterusnya menjelmakan kebangkitan dalam separuh masa kedua apabila merapatkan kedudukan menerusi jaringan Nicolas Leandro Velez pada minit ke-48.

Pelawat kemudian dihadiahkan sepakan penalti susulan Fauzi Abdul Latif dikasari dan peluang itu tidak dipersia-siakan Flavio Beck Junior pada mint ke-87.

Tiada tambahan jaringan dan kedudukan 3-3 kekal sehingga wisel penamat untuk kedua-dua pasukan berkongsi mata.

"Kita perlu faham, kami bermain menentang pasukan yang bukan calang-calang.

"Mereka pasukan terbaik dengan memiliki penguasaan dan hantaran pendek yang baik. Tetapi berkat usaha, kami dapat menyamakan kedudukan untuk mendapatkan satu mata berharga," kata jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah.