Felda United tidak boleh lagi bergantung dengan taktikal bertahan apabila melayan kunjungan Kedah dalam separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam esok seandainya mahu mengulangi kejayaan melangkah ke final pada 2014.

The Fighters tewas 0-1 dalam perlawanan pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar minggu lalu selepas kehilangan ramai pemain tonggak.

Pengendalinya, Nidzam Jamil, beranggapan tiada sebab untuk Felda United beraksi bertahan di Jengka memandangkan mereka kini memiliki hampir keseluruhan pemain yang boleh dipertaruhkan.

"Ia bergantung kepada pemain yang kami ada.

"Tempoh hari, kami kehilangan ramai pemain utama dan tidak banyak pilihan lain.

"Alhamdulillah, minggu ini kami ada hampir keseluruhan pemain, cuma Khairul Amri (Mohammad Kamal) yang saya boleh sahkan tidak akan beraksi esok.

"Secara taktikalnya, kami harus menang.

"Kami akan cuba keluar sedikit daripada zon yang kami biasa bermain tetapi saya rasa kami tidak akan bermain terlalu bertahan seperti di Darul Aman kerana secara agregatnya, mereka sedang mendahului.

"Kami perlu menjaringkan gol. Kami perlu menang dengan 2-0 atau 3-1, jadi kami tidak mempunyai banyak pilihan melainkan menyerang," katanya.

Kelebihan satu gol yang dimiliki Kedah memungkinkan perlawanan kedua itu dibawa hingga ke masa tambahan dan penentuan sepakan penalti.

Mengulas mengenai situasi itu, Nidzam menambah: "Kami sudah mempersiapkan mereka (pemain) daripada segi kecergasan, jadi tiada sebarang isu mengenai perkara itu.

"Mereka sudah bermain dalam tempoh yang panjang selama enam bulan ini.

"Kami sudah berlatih mengambil sepakan penalti sejak dua ke tiga hari lalu.

"Jika semuanya berlaku dengan baik, saya percaya kami akan memperoleh keputusan yang positif," tambahnya.