Nidzam Jamil berdepan pengangguran sepenuh masa tahun depan apabila tidak dapat menyertai mana-mana pasukan setakat ini.

Ini kerana jurulatih berumur 40 tahun itu masih belum menemui jalan penyelesaian untuk meleraikan ikatannya bersama Felda United.

"Minggu ini dan minggu depan sangat penting untuk saya berbincang dengan pasukan lama dan beberapa peluang dengan baru.

"Kalau ada perkembangan positif, saya akan berpeluang bersama pasukan baru dan kalau tidak, saya perlu berbincang mengenai dokumen yang perlu diselesaikan," katanya ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Masa depan Nidzam menjadi tanda tanya apabila The Fighters mengumum menarik diri daripada menyertai Liga Malaysia (Liga-M) mulai 2021.

Situasi itu berlaku tatkala bekas pertahanan Selangor tersebut masih mempunyai baki kontrak setahun bersama kelab berkenaan.

Ia sekali gus menyaksikannya terlepas beberapa tawaran lalu pasukan Liga M3, Sarawak jadi pilihan terakhirnya.

"Kerjaya bola sepak bukannya tetap. Kadang-kadang kami bekerja selama dua tahun kemudian menganggur selama enam bulan.

"Kami perlu sabar, tunggu peluang.

"Dalam masa rehat ini, saya perlu lihat apa yang salah selama 2-3 tahun ini. Saya akan bekerja lebih kuat," katanya.


? PROFIL PASUKAN CIMB LIGA SUPER 2020 Rumusan kempen pasukan-pasukan #CIMBLigaSuper2020 bermula dengan skuad The Fighters, Felda United FC! ? #ForwardFootball #BangkitSemangatBola

Posted by Malaysian Football League on Tuesday, December 22, 2020



Spekulasi perpindahannya ke Borneo timbul sejurus B. Sathianathan dilantik selaku pengarah teknikal Sarawak United.

Difahamkan, bekas jurulatih kebangsaan itu adalah individu yang mencadangkan nama Nidzam untuk membimbing pasukan berkenaan.

"Saya sukakan projek jangka masa panjang di Sarawak. Saya rasa ia satu perancangan besar.

"Walaupun terlibat dalam Liga M3, ia sesuatu yang bagus untuk saya dan bola sepak.

"Saya nampak perkara positif di sana."