Ketua jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adha Yusoff, mengakui sedikit kesilapan yang dilakukan pemainnya mengundang padah apabila kalah 1-4 kepada Melaka United dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Katanya, skuad Hang Tuah berjaya memerangkap benteng pertahanan Lang Merah melalui dua serangan balas pantas untuk mendahului 2-0 sebelum babak pertama berakhir.

"Gol pertama, kedua dan ketiga hasil kesilapan pemain yang memberikan gol mudah kepada Melaka.

"Kami gagal bangkit biarpun Rangel menyudahkan sepakan penalti untuk mengurangkan defisit jaringan," katanya.

Dalam aksi menarik malam tadi, Melaka di depan melalui jaringan pemain pertahanan, Khair Jones, pada minit ke-34.

Empat minit kemudian, tuan rumah menggandakan jaringan apabila sepakan kencang, R Gopinathan gagal diselamatkan penjaga gol Kedah, Mohamad Ramadhan Ab. Hamid.

Dalam separuh masa kedua, penyerang import, Pablo Rangel, menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-53 untuk Kedah merapatkan kedudukan 1-2.

Ketua pasukan Hijau Kuning, Baddrol Bakhtiar, hampir menyamakan kedudukan tetapi sepakan guntingnya dalam kotak penalti ditangkap kemas penjaga gol tuan rumah, Khairul Fahmi Che Mat, pada minit ke-58.

Namun, sedikit kesilapan pertahanan Kedah membolehkan Gopinathan melakukan tolakan mudah ke gawang untuk menewaskan Ramadhan buat kali ketiga pada minit ke-62.

Kelincahan penyerang import, Ifedayo Olusegun, sukar dikekang benteng Kedah untuk menambah jaringan Melaka pada minit ke-84.

Kekalahan kepada Melaka meletakkan skuad kendalian Nidzam itu jatuh ke tangga keempat liga dengan 30 mata selepas dipintas Terengganu yang menang ke 3-1 atas Kuala Lumpur di Kuala Terengganu.