Pemain kacukan Malaysia-England, Nicholas Swirad, mengakui keputusannya kembali ke kancah Liga Malaysia (Liga-M) dengan menyertai Sri Pahang adalah demi membuktikan kemampuannya di tahap lebih tinggi agar berpeluang mewakili negara.

Ia susulan hasrat pemain warisan negara itu untuk membuat penampilan dalam Liga Satu Thailand bersama Nongbua Pitchaya tidak kesampaian gara-gara tidak mempunyai bilangan penampilan mencukupi bersama skuad kebangsaan.

Swirad menandatangani kontrak enam bulan bersama Sri Pahang secara rasmi , tengah hari tadi -- yang kebetulan jatuh pada ulang tahun kelahirannya -- dan bekas pertahanan Selangor, PKNS dan Melaka United itu akan memakai jersi nombor empat.

"Mana-mana pemain Malaysia pun menyasarkan untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan, penyertaan saya dalam kelab besar akan membantu.

"Tetapi matlamat utama saya ialah untuk membantu kelab, kalau ia menjadi kenyataan maka ia akan berlaku.

"Walaupun memang ada terlintas mengenainya (memperkuatkan Harimau Malaya) tetapi tumpuan saya ketika ini ialah membantu Sri Pahang," katanya yang ditemani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang, Datuk Suffian Awang, dalam siaran langsung majlis menandatangani kontrak.

Ditagih untuk menguatkan benteng, Swirad perlu bersaing bersama Muslim Ahmad dan Herold Goulon berikutan lebih mnenggemari posisi pertahanan tengah berbanding kanan.





"Di mana sahaja posisi yang saya akan diturunkan, saya akan tetap berikan yang tetiba tetapi memandangkan kamu (wartawan) sudah bertanya, sudah tentu saya mahu bermain di posisi pertahanan tengah.

"Bola sepak adalah satu persaingan tetapi dalam masa sama, saya perlu bekerjasama dengan rakan sepasukan.

"Saya akan tetap akan berusaha membantu pasukan, baik di atas dan luar padang.

"Namun, saya harap dapat beraksi."