Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon, menegaskan pertahanan dari Vietnam, Michal Nguyen, belum menjadi milik skuad Gergasi Merah itu kerana jurulatih, B. Sathianathan, mahu menguji sejauh mana kemampuannya sebelum membuat sebarang keputusan.

Kelibat Nguyen, yang merupakan bekas pemain kelab divisyen satu Thailand, Air Force Central, dikesan dalam perlawanan persahabatan di antara Selangor dan UiTM FC di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), semalam.

Namun, Dr. Johan menegaskan pemain itu belum sah menjadi milik Selangor kerana Sathianathan mahu memantau sejauh mana keadaan terkini pemain kacukan Republik Czech dan Vietnam itu.

Menurutnya, Nguyen yang bakal mengisi kuota Asia Tenggara perlu membuktikan kemampuan sebelum layak menandatangani kontrak bersama Selangor.

"Seperti yang ramai maklum, Selangor telah menjalankan latihan dengan beberapa pemain asing tetapi ramai yang dihantar pulang kerana tidak melepasi tahap dimahukan jurulatih. Kami harapkan yang terbaik untuk mereka.

"Semoga dia boleh beraksi dengan baik dan jika prestasi dipamerkan memberangsangkan, kami akan menandatangani dia," katanya.

Mengenai isu Fitri Omar yang kecewa tidak dapat bersama Selangor, Dr. Johan menjelaskan tiada sebarang rundingan kontrak secara rasmi pernah dilakukan pihaknya dan berharap perkara berkenaan tidak lagi ditimbulkan oleh mana-mana pihak.

"Fitri ada menghubungi saya sebelum ini dan saya telah membalas dengan memberitahu dia akan dipanggil sekiranya Selangor berminat. Mungkin dia ada berhubung dengan pegawai FAS yang lain tetapi kami tidak pernah berbincang mengenai kontrak," tambahnya.