Pengurus Barca, Ernesto Valverde, menyifatkan dirinya tidak tahu apa-apa mengenai laporan bahawa Neymar akan kembali ke Camp Nou.

Penyerang Brazil itu meninggalkan Barca untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG) menerusi yuran perpindahan rekod dunia pada musim panas lalu, namun kini dikaitkan dengan jalan keluar dari Paris.

Kecederaan kaki menyaksikannya terlepas aksi timbal-balik Liga Juara-Juara Eropah bertemu Real Madrid, Rabu lalu, dan kini dia juga berdepan kemungkinan terlepas saingan Piala Dunia.

Madrid dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat Neymar tetapi bagi pihak Barca, Valverde menolak khabar angin bahawa dia akan kembali menyarung jersi kelab Catalan itu.

“Saya tidak tahu dari mana datang berita itu. Jadi, tidak perlu bercakap mengenai perkara yang tidak sahih,” kata Valverde.

Pengendali itu juga ditanya mengenai situasi pemain tengah Gremio, Arthur, selepas dilaporkan semakin hampir untuk melengkapkan proses perpindahan ke Sepanyol.

“Adakah dia akan dapat menyesuaikan diri? Kami mempunyai polisi untuk tidak berbicara tentang pemain daripada pasukan lain.

“Arthur adalah pemain yang bagus tetapi dia tidak berada dalam pasukan kami, jadi lebih baik bercakap mengenai skuad Barca.”