Paris Saint-Germain (PSG) menjangkakan Neymar akan pulih dalam tempoh empat minggu setelah pemain Brazil itu mengalami kecederaan buku lali ketika tugasan antarabangsa.

Neymar diketepikan daripada skuad Copa America Brazil akibat kecederaan yang dialami sewaktu menewaskan Qatar 2-0 dalam aksi persahabatan di Brasilia.

Pemain berusia 27 tahun itu meninggalkan padang dalam keadaan menangis menuju ke bilik persalinan sebelum pihak Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF) mengesahkan penggempur PSG itu tidak akan beraksi dalam Copa America yang bermula Jumaat ini.

PSG memeriksa Neymar dan juara Ligue 1 itu berkata dia tidak memerlukan pembedahan setelah dirawat oleh doktor kelab.

"Semalam, doktor skuad utama PSG, Dr Laurent Aumont, serta pihak pengurusan dan tokoh perubatan, Profesor Gerard Saillant, mengesahkan kecederaan yang dialami Neymar ketika aksi persiapan Brazil menjelang Copa America, Rabu lalu," kata wakil PSG.

"Dua doktor melihat wujud masalah di bahagian tisu buku lali kanan tanpa keperluan pembedahan. Ia cuma perlu dipantau dengan baik.

"Penyerang PSG itu dijangka kembali selepas empat minggu berehat."