Neymar membuat kesilapan dengan menyertai Paris Saint-Germain (PSG), kata bekas bintang Barcelona dan Brazil, Rivaldo.

Pemain berusia 26 tahun itu meninggalkan Barca untuk ke PSG dalam perpindahan rekod dunia tahun lalu dan berjaya memenangi Ligue 1, namun rakan senegaranya, Rivaldo, berasakan dia tidak dapat mencapai potensi penuhnya di Perancis.

Walaupun mengakui bahawa penghijrahan itu memberi ganjaran kewangan yang besar untuk Neymar dan keluarganya, Rivaldo menyuarakan padangannya bahawa jika pemain itu mahu memenangi Ballon d'Or, dia perlu keluar.

Dia memberitahu Sport: "Jika kamu mahu menjadi yang terbaik di dunia, PSG adalah tepat, tetapi mereka tidak mempunyai tradisi dalam Liga Juara-Juara Eropah, mereka bukanlah yang paling kuat di Eropah.

"Liga Perancis tidak seperti Liga Inggeris, Sepanyol atau Jerman.

"Atas sebab itu, saya fikir dia melakukan kesilapan tetapi secara kewangan, ia baik untuk dia dan keluarganya.

"Kamu perlu memenangi Liga Juara-Juara, mencapai sesuatu yang berbeza, untuk memenangi Ballon d'Or. Pasukannya akan sentiasa memenangi liga dan piala tetapi seperti yang saya katakan, ia bukan kejohanan paling besar," katanya lagi.

Neymar hampir kembali selepas patah kaki ketika beraksi bersama PSG apabila dia kelihatan akan mengetuai Brazil dalam Piala Dunia tahun ini dan memperbaiki kedudukan keempat empat tahun lalu.