Paris Saint-Germain (PSG) mengesahkan Neymar telah selesai menjalani pembedahan kecederaan kakinya dan perlu direhatkan sekurang-kurangnya enam minggu.

Penyerang kebangsaan Brazil itu kembali ke tanah airnya untuk menjalani pembedahan, dengan berkemungkinan terpaksa direhatkan hingga penamat musim ini manakala penampilannya dalam Piala Dunia, masih menjadi tanda tanya.

PSG sebelum ini tidak memberikan sebarang jangka masa pemulihan Neymar tetapi sekurang-kurangnya enam minggu sebelum dia kembali menjalani latihan.

Jika Neymar pulih dengan segera, dia berkemungkinan akan beraksi dalam aksi separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) yang dijadulkan pada 24 April andainya PSG layak.

"Pembedahan yang dikendalikan oleh Dr Rodrigo Lasmar berjalan dengan sempurna," kata kelab itu.

"Proses pemulihan akan bermula dalam kadar segera dengan pemantauan ahli fisioterapi pasukan.

"Laporan akan dibuat dalam tempoh enam minggu untuk mengenal pasti tarikh Neymar akan kembali berlatih."