PSG 1 STRASBOURG 0

Ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, berkata Neymar perlu menerima ejekan daripada penyokong selepas pemain bintang itu menandakan kepulangannya dengan kemenangan dramatik ke atas Strasbourg awal pagi tadi.


Turun dalam aksi pertamanya musim ini, Neymar memaparkan magisnya dalam masa kecederaan dengan menjaringkan gol akrobatik untuk memberikan PSG kemenangan 1-0 di Parc des Princes.

Namun, bintang Brazil itu menjadi sasaran ejekan penyokong sendiri susulan saga perpindahannya ke Barcelona sepanjang jendela perpindahan lalu.

Tuchel berkata pemain berusia 27 tahun itu perlu menerima ejekan berkenaan, namun memuji respons yang diberikan Neymar.

"Ia bukan mudah kerana dia seorang yang sensitif, namun dia telah melakukannya dengan baik," katanya dalam sidang media.

"Ia lumrah hidup, bukan mudah untuk penyokong melaluinya dalam jendela perpindahan lalu.

"Sebab itu, kami perlu menerima tingkah laku mereka.

"Saya tidak mahu menghakimi mereka, ia memang seperti itu. Ia bukan mudah.

"Dia boleh beraksi lebih baik, dengan lebih gelecekan dan lebih larian pantas.

"Dia memerlukan beberapa perlawanan lagi untuk mencari rentak sebenar dan kemampuan fizikal untuk menjadikan permainan kami lebih pantas dengan lariannya.

"Dia memiliki kualiti untuk menentukan haluan permainan.

"Saya gembira dia dapat membuktikannya pada penghujung permainan," katanya.

PSG berkelebihan dua mata di puncak Ligue 1 selepas memperoleh empat kemenangan daripada lima perlawanan.

Mereka akan berdepan Real Madrid dalam Liga Juara-Juara Eropah, Rabu ini.