Neymar perlu menyertai Real Madrid jika mahu bergelar pemain terbaik dunia, kata bekas bintang Barcelona dan Brazil, Rivaldo.

Pemain berusia 26 tahun itu meninggalkan Barcelona untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG) tahun lalu dan cemerlang dalam saingan Ligue , tetapi rakan senegaranya, Rivaldo, berasakan dia tidak akan mencapai potensi terbaiknya di Perancis.

Dengan laporan mencadangkan Real berminat untuk mendapatkan Neymar, Rivaldo menyeru pemain itu untuk melakukan perpindahan tersebut.

"Saya memberitahu Neymar bahawa dia mampu menjadi pemain terbaik dunia," katanya.

"Tetapi jika dia kekal di PSG, ia tidak akan berlaku. Dia perlu berhijrah.

"Sepanyol adalah medan pemain terbaik dunia. Saingan di sana sangat kompetitif -- sama seperti di Itali, Jerman dan England.

"Berdasarkan maklumat saya, dia boleh menyertai Real dan ia adalah satu perpindahan yang sangat baik," tambahnya.

Neymar semakin hampir untuk kembali beraksi selepas mengalami kecederaan kaki dan bakal bersama Brazil untuk saingan Piala Dunia di Russia.